loading...

Menyerupai Wanita,Inilah Jenis Manusia Yang Menderhaka Kepada Allah...Baca Dan Nilai






Hari demi hari, makin banyak manusia yang suka menderhaka kepada Allah dengan meninggalkan perintah Allah dan sanggup melakukan perbuatan yang ditegah oleh-Nya. Manusia semakin liar dan lalai sehingga mahu membuat apa saja menurut kemahuan nafsu, walaupun bertentangan dengan fitrah atau semulajadi penciptaannya.



Di antara kejadian semula jadi / fitrah yang disyariatkan oleh Allah kepada manusia ialah lelaki menjaga sifat-sifat istimewa kelakiannya seperti yang telah diciptkan; dan kaum wanita menjaga sifat-sifat istimewa kewanitaannya sebagaimana asal diciptakan Allah. Ini merupakan satu faktor penting untuk para hamba-Nya bersyukur serta menjalani kehidupan dengan normal dan sejahtera.



Namun terdapat para lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya, padahal tindakan itu adalah menyalahi fitrah atau undang-undang kebiasaan menurut asal kejadian. Hal ini akan mengakibatkan fitnah, kerosakan dan kepincangan dalam perilaku kehidupan bermasyarakat. Perbuatan songsang ini adalah haram dan dilaknat oleh Islam. Para pelakunya sudah tentu mendapat dosa besar yang memusnahkan diri sendiri dan orang lain.



Sebuah hadis marfu' yang diriwayatkan oleh Abdullah bin 'Abbas r.a bermaksud: Rasulullah s.a.w melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.



Abdullah bin "Abbas r.a juga meriwayatkan hadis yang berkaitan maksudnya: Rasulullah s.a.w melaknat lelaki yang bertingkah laku seperi wanita dan wanita yang bertingkah laku seperti lelaki.



Penyerupaan yang dimaksudkan bersifat umum. Misalnya dalam melakukan gerakan anggota tubuh, dalam percakapan, corak berjalan dan dalam seluruh gerak diamnya seperti cara berpakaian, berambut panjang dan berdandan. Lelaki tidak boleh memakai gelang, kalung, anting-anting, gelang kaki atau berhias muka seperti perempuan. Sama ada mereka digelar pondan, bapok, si lembut atau maknyah oleh masyarakat atau tidak, golongan ini tetap luar biasa / abnormal.



Kadangkala golongan ini sengaja mengguna perilaku mereka buat memikat serta memuaskan nafsu sesama jenis / homoseks sambil mencari wang melalui pelacuran dengan lelaki lain. Malah ada di kalangan mereka yang berbangga dan sanggup menukar jantina. Berlakunya cinta sejenis, sodomisma, perbuatan liwat dan seumpamanya seperti kaum Nabi Lut a.s yang kufur, fasiq dan tidak bermoral itu; akan menempah ancaman kebinasaan yang lebih teruk dari Allah..



Kaum wanita juga ditegah keras memakai pakaian yang direka khas untuk kaum lelaki walaupun menutup aurat atau kononnya nampak sopan. Mereka dilarang sengaja bersifat seperti lelaki dengan lagak berambut pendek, cara berjalan, makan minum, bercakap dan sebagainya sehingga rela dikatakan seperti lelaki, malah ada yang bernafsu terhadap sesama perempuan hingga mengakibatkan berlaku pula perbuatan lesbian / seks sesama jenis wanita.



Jadi perbuatan sumbang dan abnormal ini sangat menyalahi syarak dan akhlak Islam ini adalah bermula dari peniruan / penyerupaan sifat-sifat yang dilarang tadi.



Perbuatan dan tindakan demikian boleh merosakkan masyarakat; akibatnya akan timbul pula penyakit-penyakit kronik sampingan yang lebih sukar diubati dan akhirnya akan membinasakan umat dan agama Islam.



Kaum lelaki dan wanita mestilah menjaga hak dan perbezaan jenisnya dengan bertindak memakai pakaian yang sesuai dengan fitrahnya sepanang masa, walau di mana mereka berada. Allah Taala Yang Maha Mengetahui telah mensyariatkan peraturan-peraturan yang sesuai dengan kejadian hamba-hamba-Nya. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w yang mafhumnya: Allah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.



Berleluasanya perbuatan haram / abnormal ini di dalam masyarakat bermakna makin berleluasanya manusia menempah laknat Allah.



Allah S.W.T menjadikan makhluk itu berpasang-pasangan. Firman Allah S.W.T dalam surah Yaasiin ayat 36.



Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menciptakan makhluk –makhluk semua berpasangan sama ada yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka, atau pun dari apa yang mereka tidak ketahui.



Begitulah jua diciptakan manusia.  Allah S.W.T. menjelaskan tentang kejadian lelaki mahupun perempuan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat  ayat 13.



Maksudnya: Hai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.



Dinyatakan lagi bahawa kejadian manusia merupakan sebaik-baik ciptaan Allah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Tin ayat 4.



Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.



Hikmah manusia dijadikan secara berpasangan adalah untuk mengembangkan zuriat keturunan manusia yang diredhai Syarak.



Oleh yang demikian, setiap manusia itu hendaklah bersyukur dengan ciptaan Allah S.W.T. Maka janganlah diubah daripada lelaki yang dilahirkan hakikinya sebagai lelaki menyerupai  perempuan begitulah sebaliknya.



MAKSUD LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA

Maksud lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya ialah meniru gaya orang perempuan sama ada dari segi pakaian seperti memakai pakaian seperti wanita, dari segi perhiasan seperti memakai gelang, subang dan kalung atau dari segi gaya bercakap seperti bercakap dengan suara yang halus dan lanjut  atau dari segi  berjalan seperti berlenggang-lenggok dan lain-lain yang menjadi kebiasaan orang perempuan.



Sementara meniru gaya orang lelaki pula adalah dari segi pakaian seperti memakai pakaian seperti lelaki, dari segi  perwatakan seperti pergerakan yang kasar, berlagak lelaki, mencukur rambut kepala, dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan orang lelaki.



Sehubungan dengan itu, perkara-perkara yang dilarang lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya adalah seperti berikut:



Mengubah bentuk fizikal termasuk menukar jantina,

Gaya berjalan dan gerak badan.

Percakapan dan suara.

Perhiasan.

Pakaian



HUKUM LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA

Perbuatan tersebut, sama ada lelaki berlagak perempuan atau sebaliknya adalah haram bahkan berdosa besar berdasarkan terdapatnya dalil yang mela‘nat orang yang melakukannya.



Perbuatan ini juga merupakan antara kemungkaran yang telah merebak dengan meluas di kalangan umat Islam.



HUKUM LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA DENGAN CARA PERUBATAN



Hukum lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya dengan cara perubatan sama ada dengan pengambilan hormon atau membuat pertukaran jantina adalah haram. Ianya termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah. Hal ini berdasarkan hadith,



عَنْ عَبْدِ اللَّهِ  بْنِ مَسْعُودٍ  رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ،  قَالَ:  لَعَنَ  اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ  وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ، مَا لِي لاَ أَلْعَنُ مَنْ لَعَنَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَهُوَ فِي كِتَابِ اللَّهِ : (وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا) .



Yang bermaksud, Daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud r.a  katanya, “Allah mela‘nat perempuan yang membuat tatu, yang diminta membuatnya, yang mencabut bulu muka dan yang mengasah gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah. Kenapa pula aku tidak mencerca mereka yang dila‘nat oleh Rasulullah SAW sedangkan di dalam al-Qur’an Allah menyatakan firman-Nya yang bermaksud... Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta ‘amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya…”



Hikmah pengharaman mengubah-ngubah ciptaan Allah adalah kerana terdapatnya pemalsuan, penipuan dan menimbulkan sangkaan yang tidak benar seperti menganggap ciptaan Allah tidak sempurna.



DALIL PENGHARAMANNYA

Perbuatan berlagak lelaki atau perempuan haram berdasarkan hadith,





عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ.



Yang bermaksud, daripada Ibnu ‘Abbas, katanya, “Rasulullah saw mela‘nat lelaki yang meniru-niru gaya perempuan, dan perempuan yang meniru-meniru gaya lelaki.”



Begitu juga hadith,



عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ وَقَالَ: أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُم.



Yang bermaksud, daripada Ibnu ‘Abbas. katanya, “Nabi saw mela‘nat lelaki yang berperangai pondan dan perempuan yang berperangai lelaki. Baginda bersabda, usirlah mereka dari rumah kamu.”



Begitu juga hadith,



عن أبي هريرة رضي الله عته قال: لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلَ يَلْبِسُ لِبْسَةَ المَرْأَةِ، وَالمَرْأَةَ تَلْبِسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ.

Yang bermaksud : Daripada Abi Hurairah r.a berkata :Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki.



(Hadith Riwayat Abu Daud: 4098 muka surat 27 dalam Bab libas An-nisak Juzuk 4)



Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tabrani, Abdullah bin Amru bin al-As r.a telah melihat Ummu Sa‘id binti Abu Jahal berjalan seperti seorang lelaki dengan pedang tersisip di pinggangnya lalu Abdullah berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,



لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِالرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ، وَلاَ مَنْ تَشَبَّهَ بِالنِّسَاءِ مِنَ الرِّجَالِ.



Yang bermaksud, Bukanlah daripada kalangan umatku perempuan meniru lelaki dan lelaki meniru perempuan.

Laknat dalam hadith di atas merupakan celaan yang sangat berat kepada pelaku. Ianya menunjukkan betapa kerasnya larangan Rasulullah terhadap perbuatan tersebut. Dalam kitab Fath al-Bari, al-Tabari menjelaskan laknat (  لعن  ) bermakna tidak harus    (  لا يجوز  ) iaitu haram. Manakala al-Syeikh Abu Muhammad bin Abi Hamzah berkata: Laknat (  اللعن  ) itu menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah sebahagian daripada dosa-dosa besar.



HIKMAH DISEBALIK PENGHARAMAN INI-

Hikmah pengharaman ini, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Fath al-Bari, adalah kerana larangan mengubah-ngubah ciptaan Allah sebagaimana hadith di atas.

Selain itu, ianya diharam bagi mengelakkan perbuatan homoseksual dan lesbian sebagaimana yang berlaku kepada kaum Nabi Lut a.s. Hal disebutkan dalam surah al-Naml ayat 54 dan 55,

Yang bermasud, Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) tatkala ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya?

Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”.



KEDUDUKAN LELAKI YANG MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA

Bagi lelaki menyerupai perempuan dari segi ibadah, mualamah, munakahat sehinggalah kepada urusan jenazah adalah kekal sebagaimana hukum ke atas seorang lelaki dan begitulah sebaliknya.



KEPENTINGAN HUKUM FIQH ISLAM

Hukum fiqh penting kepada umat Islam kerana:



Kaitan Antara Fiqh dan ‘Aqidah Islamiyah



Antara keistimewaan Fiqh Islam sebagaimana yang telah dijelaskan ialah hukum-hukum syara‘  yang mengatur segala perbuatan dan perkataan mukallaf. Ia mempunyai hubungan yang sangat kukuh dengan iman kepada Allah dan mempunyai kaitan yang  rapat dengan asas-asas ‘aqidah Islamiyah, terutamanya yang berkaitan dengan ‘aqidah keimanan kepada hari akhirat.



Hal ini demikian kerana ‘aqidah keimanan  kepada  Allah  menjadikan  seseorang  muslim  itu berpegang teguh dengan segala hukum agama serta memandu mereka ke arah pelaksanaannya dengan penuh keta‘atan dan kerelaan.



Begitu  juga  orang  yang tidak beriman kepada Allah tidak terikat dengan ‘ibadat solat dan puasa. Mereka akan bertindak tanpa mengira halal dan haram. Justeru, beriltizam dengan segala hukum syara‘ merupakan satu cabang daripada beriman kepada Allah yang telah menurunkan syari‘at  kepada  hamba-hamba-Nya



Fiqh Islam Merangkumi Semua Keperluan Manusia



Tidak syak lagi bahawa kehidupan manusia merangkumi pelbagai aspek dan kebahagiaan mereka diperolehi dengan memelihara semua aspek tersebut melalui peraturan dan perundangan.



Oleh sebab Fiqh Islam merupakan hukum-hukum yang disyari‘atkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya bagi menjaga kemaslahatan dan menghindari  kerosakan, justeru Fiqh Islam datang dalam keadaan merangkumi aspek tersebut dan menyusun semua keperluan manusia dengan hukum-hukumnya.



Jika diperhatikan kitab-kitab fiqh yang mengandungi hukum-hukum syara‘ yang bersandarkan kepada kitab Allah , sunnah Rasulullah, ijma‘ ‘ulama’ dan ijtihad mereka, kita akan dapati hukum-hukum tersebut terbahagi kepada tujuh bahagian dan daripadanya dibentuk peraturan umum bagi menjamin kehidupan manusia secara  individu atau bermasyarakat.



Hukum ‘ibadat

Hukum ‘ibadat ialah hukum-hukum yang berkaitan dengan ber‘ibadat kepada Allah seperti berwudhu’, solat,  puasa,  zakat,  haji dan lain-lain.



Hukum kekeluargaan

Hukum kekeluargaan ialah hukum-hukum  yang berkaitan dengan kekeluargaan seperti penyusuan, nafkah,  pembahagian harta  dan lain-lain.



Hukum mu‘amalat

Hukum mu‘amalat ialah hukum-hukum yang berkaitan dengan perbuatan manusia dan hubungan sesama mereka seperti jual beli, gadaian, sewaan, pendakwaan dan keterangan-keterangan, penghakiman dan lain-lain.



Hukum pemerintahan atau siasah shar‘iyah     

Hukum pemerintahan ialah hukum-hukum yang berkaitan dengan tanggungjawab pemerintah seperti menegakkan ke‘adilan, membasmi kezaliman dan melaksanakan undang-undang. Begitu juga hukum yang berkaitan dengan kewajipan rakyat supaya menta‘ati pemimpin dalam perkara yang bukan ma’siat dan lain-lain lagi.



Kanun keseksaan (قَانُونُ عُقُوبَاتٍ)

Kanun keseksaan ialah hukum-hukum yang berkaitan dengan hukuman yang dikenakan terhadap penjenayah, memelihara keamanan  dan peraturan seperti hukuman kepada pembunuh, pencuri, peminum arak dan seumpamanya.



Hukum hubungan antarabangsa (سِيَر)

Hukum hubungan antarabangsa ialah hukum-hukum yang mengatur hubungan antara negara Islam dengan negara–negara lain dari segi peperangan, perdamaian dan lain-lain.



Adab dan akhlaq

Adab dan akhlaq ialah hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlaq, maruah, pekerti yang baik dan yang buruk dan lain-lain.



Demikianlah  Fiqh Islam merangkumi segala hukum yang berkaitan dengan keperluan manusia  dan semua kemudahan hidup individu dan masyarakat.



KESIMPULAN



Perbuatan, sama ada lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya, adalah haram bahkan berdosa besar. Ianya selari dengan ajaran Islam yang melaknat perbuatan tersebut.

Bagi lelaki tulin atau perempuan tulin, penilaian Psikologi dan Psikiatri tidak diterima pakai dalam Islam untuk menentukan jantina seseorang.

Pengharaman ini juga penting bagi membendung kes jenayah Syariah yang lain seperti liwat dan membendung isu perdagangan seks.








loading...

0 Response to "Menyerupai Wanita,Inilah Jenis Manusia Yang Menderhaka Kepada Allah...Baca Dan Nilai"

Post a Comment

loading...
'));