loading...

Ini Sebab Kenapa Rasulullah SAW Melarang Kita Tidur Meniarap






Soalan:



Saya ada mendengar bahawa terdapat hadis Nabi SAW mengenai larangan untuk tidur secara meniarap. Bagaimanakah pandangan para ulama’ terhadap isu ini?



Jawapan:



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.



Memang terdapat hadis dari Nabi SAW mengenai larangan untuk tidur secara meniarap. Ini sepertimana riwayat daripada Ya`ish daripada ayahnya, Tikhfah bin Qaysi al-Ghifari RA bahawa pada suatu hari ketika beliau sedang tidur di dalam masjid dalam keadaan meniarap, lalu ada seseorang yang menggerakkanku (membangunkanku) dengan mengunakan kaki lalu berkata:



إِنَّ هَذِهِ ضِجْعَةٌ يُبْغِضُهَا اللَّهُ. قَالَ فَنَظَرْتُ فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم



Maksudnya: Sesungguhnya ini adalah cara tidur yang dimurkai Allah. Kemudian Tikhfah RA berkata: “Lalu aku melihat lelaki itu (yang membangunkanku) adalah Rasulullah SAW.



Riwayat Abu Daud (5040) & al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad (1187)



Dalam hadis dengan lafaz yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:



قُمْ وَاقْعُدْ فَإِنَّهَا نَوْمَةٌ جَهَنَّمِيَّةٌ



Maksudnya: Bangun dan duduk, sesungguhnya ini adalah cara tidurnya penghuni neraka.



Riwayat Ibn Majah (3725)



Hukum Tidur Meniarap



Jelas terdapat larangan agar tidak tidur secara meniarap. Di dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi`e, tidur secara sengaja dalam keadaan sebegini adalah makruh. Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`:



وَيُكْرَهُ الِاضْطِجَاعُ عَلَى بَطْنِهِ



Maksudnya: dan dimakruhkan untuk tidur di atas perut (secara meniarap).[2]



Al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah juga menyebutkan bahawa sunat juga mengejutkan mereka yang tidur dalam keadaan meniarap.[3]



Kesimpulan



Larangan dari tidur secara meniarap berdasarkan hadis yang disebutkan di atas difahami oleh ulama` Syafi`eyyah adalah bersifat makruh. Seeloknya dijauhkan dari perbuatan tersebut.








loading...

0 Response to "Ini Sebab Kenapa Rasulullah SAW Melarang Kita Tidur Meniarap"

Post a Comment

loading...
'));