loading...

“Pertunangan Adalah Komitmen Yang Belum Pasti. Oleh Itu..” Ustaz Kazim






FITRAH manusia dicipta untuk berkasih sayang dan berpasang-pasangan. Namun, setiap apa yang diciptakan pasti tidak sempurna dan memerlukan bimbingan dan panduan bagi memastikan hubungan yang terbina mengikut acuan agama.

Peringkat awal proses perkahwinan antaranya meliputi proses melamar dan bertunang. Walaupun pertunangan itu mudah, tetapi hakikatnya ramai dalam kalangan masyarakat terlalu mengikut trend sehingga melampaui batas.Masing-masing berlumba untuk menjalankan majlis secara besar-besaran semata-mata untuk mendapatkan perhatian masyarakat sekeliling sedangkan ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Malah, ada dalam kalangan masyarakat yang sanggup berbelanja ribuan ringgit membeli alat solekan untuk kegunaan majlis pertunangan. Tidak kurang juga, ada yang sanggup berhabis puluhan ribu semata-mata untuk mengadakan majlis di tempat-tempat yang gah selain hotel mewah.

Kesederhanaan

Penceramah bebas terkemuka, Datuk Mohd. Kazim Elias, berkata, pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan.” (Hadis riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair)

“Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Secara lazimnya ia akan berakhir dengan perkahwinan namun tidak mustahil juga boleh tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan.

“Bagaimanapun, ulama menjelaskan bahawa tujuan Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan antaranya untuk menjaga hubungan tersebut daripada dirosakkan oleh hasad dengki manusia yang akan memudaratkan orang lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata, majlis pertunangan secara besar-besaran adalah tidak digalakkan kerana Islam menganjurkan kesederhanaan dalam semua tindakan. “Tidak salah sekiranya diadakan sedikit jamuan bagi menjamu ahli keluarga namun sekiranya terdapat unsur riak dan membazir pada perkara yang tidak sepatutnya ia dilarang dalam Islam,” katanya lagi.

Sementara itu, Pencetus Ummah (PU) musim kedua Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai PU Faiz berkata, pertunangan tidak boleh menghalalkan yang jelas haramnya. “Bertunang hanyalah merupakan ikrar janji setia yang tidak akan mampu menghalalkan yang haram dan tidak mengharamkan yang halal. Mereka yang bertunang masih terikat dengan hukum Islam.

“Pertunangan yang berlangsung sepatutnya dibuat dalam bentuk sederhana, tidak membebankan pasangan dengan menyediakan sesuatu yang berlebih-lebihan,” katanya ketika dihubungi. Dalam pada itu, PU Faiz berkata, Islam mengalakkan mereka yang bertunang untuk saling mengenali tabiat dan akhlak pasangan sebelum berlangsungnya akad nikah.

“Ia bertujuan untuk mempersiapkan diri pasangan dalam menuju ke alam rumah tangga yang bakal ditempuhi kelak. Oleh itu, mereka seharusnya lebih menfokuskan kepada pernikahan untuk menghalalkan hubungan berbanding melakukan pembaziran pada majlis pertunangan,” katanya lagi.

Budaya

Bagi Pensyarah Pusat Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Rozmi Ismail, fenomena bermewah-mewah dalam menjalankan majlis pertunangan menjadi budaya baharu dalam masyarakat.

“Dahulu, tidak ada budaya sebegini tetapi disebabkan perkembangan teknologi yang begitu pesat ramai yang ingin berkongsi semua perkara di media sosial. “Semua berlumba-lumba untuk mendapat perhatian dan pujian dalam masyarakat sedangkan dalam konteks kemampuan ada dalam kalangan mereka tidak mampu,” katanya.

Rozmi berkata, budaya tersebut dilihat tidak mendatangkan manfaat kepada pasangan yang bertunang sebaliknya boleh mengundang pelbagai masalah lain. “Terlalu ramai pasangan muda diisytihar muflis kerana dibelenggu hutang. Ini adalah salah satu faktornya apabila mereka terlalu mahu mengikut trend sehingga memudaratkan diri.

“Malah, sekiranya pertunangan tersebut putus di tengah jalan dikhuatiri memberi implikasi kepada kedua-dua belah pihak. Ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan tetamu yang pernah hadir ke majlis pertunangan akan menimbulkan pelbagai spekulasi,” ujarnya.

Rozmi menambah, impaknya, pasangan akan mengalami tekanan emosi apabila pelbagai andaian dibuat. “Manusia yang normal akan mempunyai kemahuan untuk mencari kebenaran. Akan timbul pelbagai persoalan dan andaian yang pada akhirnya boleh menjerat kedua-dua pasangan.

“Justeru, tidak perlu berlebih-lebihan dalam menjalankan majlis pertunangan kerana ia amat tidak digalakkan sama sekali,” jelasnya.








loading...

0 Response to "“Pertunangan Adalah Komitmen Yang Belum Pasti. Oleh Itu..” Ustaz Kazim"

Post a Comment

loading...
'));